BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN (BAP) RM100 SETIAP SEORANG PELAJAR

Mungkin ramai di kalangan ibu bapa yang tidak mengetahui mengenai beberapa jenis bantuan persekolahan yang telah di sediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi kemudahan anda. 

Pada artikel kali ini, pihak kami ingin berkongsi mengenai satu jenis bantuan yang perlu anda tahu iaitu Bantuan Awal Persekolahan di mana pihak Kementerian Pendidikan Malaysia ada memberikan bantuan secara one-off kepada murid yang bersekolah rendah dan sekolah menengah dari tahun 1 hingga tingkatan 5.


PERINCIAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN (BAP)


Untuk pengetahuan ibubapa, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) mula diperkenalkan pada tahun 2012 lagi. Ianya bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan anak-anak yang di tanggung oleh ibu bapa atau penjaga terutamanya pada awal tahun.

Bantuan ini diberikan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya dari kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar sebanyak RM3,000 dan ke bawah.


KADAR BANTUAN UNTUK SETIAP TAHUN

  • Kadar bantuan yang akan di terima oleh setiap seorang murid adalah sebanyak RM100.00 secara sekaligus (one-off)
Nota : Ini bermakna, sekiranya anda mempunyai anak seramai 3 orang, dan menepati syarat kelayakan yang ditetapkan, anda layak menerima Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM300.00 untuk 3 orang anak.


SYARAT DAN KRITERIA KELAYAKAN

Beberapa syarat kriteria kelayakan yang telah di tetapkan bagi bakal penerima bantuan BAP ini, iaitu :
  • Murid warganegara Malaysia (perlu dibuktikan dengan sijil lahir / mykid / mykad / yang telah disahkan atau apa-apa dokumen yang di keluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia )
  • Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya yang berasal dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan KASAR sebanyak RM3,000.00 dan ke bawah pada tahun semasa.  Pendapatan KASAR bulanan adalah pendapatan yang mengambil kira gaji hakiki/pokok dan elaun-elaun tetap sahaja.  Elaun lebih masa dan elaun-elaun yang bersifat tidak tetap tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan KASAR bulanan 
  • Bantuan ini diberikan kepada murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kerajaan (SK), Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Swasta (selain sekolah antarabangsa).


CARA MEMBUAT PERMOHONAN

  • Untuk makluman ibubapa, sebarang permohonan bagi Bantuan Awal Persekolahan ini, anda tidak perlu lagi melakukannya. Ini kerana, pihak sekolah yang akan mengeluarkan senarai nama murid yang layak mendapatkan bantuan ini, bergantung kepada syarat kelayakan anda.
  • Mana-mana murid yang layak untuk mendapat bantuan ini, satu lampiran borang akan di beri yang perlu ibu bapa lengkapkan.
  • Proses pembayaran akan terus dikreditkan ke akaun penerima ataupun berupa wang tunai.



SOALAN LAZIM

Bantuan ini khusus untuk siapa?
  • Bantuan ini khusus untuk murid Tahun 1 Hingga Tingkatan 5.
  • Keluarga berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3,000 ke bawah.

Berapakah kadar bantuan ini?

Kadar bantuan untuk bantuan ini adalah sebanyak RM100.00 bagi seorang murid.

Anak saya seramai 3 orang dan masih bersekolah, adakah mereka semua layak untuk menerima?

Layak. Semuanya bergantung kepada syarat kriteria yang telah di tetapkan. 

MAKLUMAT LANJUT

Untuk sebarang pertanyaan mengenai Bantuan Awal Persekolahan ini, anda bolehlah merujuk ke pautan ini : https://www.moe.gov.my/bantuan-pembelajaran-menu/bantuan-awal-persekolahan-bap

Leave a Comment